Saturday, May 31, 2008

CeRiTa SeBeNaR ApRil Fool

Ikutilah cerita sedih di sebalik April Fool's Day sebagai renungan bersama. Setiap kali menjelang 1 April, nah! Orang kita begitu taksub dengan budaya 'pandang ke barat'.
Berbalik kepada perayaan April Fool's Day ini, ia sebenarnya mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian.
Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol (Moors) terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan orang-orang Islam di Sepanyol.
Penduduk-penduduk muslim ini telah diberitahu bahawa mereka boleh belayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan. Orang-orang Muslim yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu penipuan, telah pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan.
Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokan harinya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan menuju ke pelabuhan.
Pada masa inilah, pihak Kristian mengambil kesempatan untuk menggeledah dan kemudian membakar rumah penduduk-penduduk Islam ini.
Mereka juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya habis dibakar. Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum Muslimin dan membunuh kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian.
Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia.
Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya meraikan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara se-Islam mereka sendiri.
Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita.

InterPretasi Cinta

Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT; pemilik sekalian alam yang telah melemparkan perasaan cinta ke dalam hati kita.
Firman Allah SWT kepada orang-orang Mukmin:
Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya. (Al-Maidah, 54)
Apakah sebenarnya interpretasi cinta? Menurut Kamus Dewan, perkataan "cinta" boleh didefinisikan dan diinterpretasikan sebagai perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada sesuatu. Contohnya mata kita yang mencintai bentuk-bentuk yang indah dan telinga yang mencintai muzik. Manakala erti cinta dalam kerangka Allah (hubb fiLLAH) ialah mencintai sesuatu yang pada akhirnya mengarah pada apa yang dicintai Allah. Kita seharusnya mencintai sesuatu bukan dengan alasan diri sendiri tetapi kerana adanya sifat-sifat yang dicintai oleh Allah SWT sendiri. Contohnya kita mencintai Rasulullah kerana Allah mencintai baginda dan memang Dia memerintahkan kita untuk mencintai baginda.
Ramai dalam kalangan kita mengakui bahawa cinta kepada Allah ialah satu kewajipan. Namun, sayang sekali jika mereka hanya menjadikannya sebagai gincu di bibir-sekadar perhiasan tanpa berusaha menghayatinya. Ya, benar. Kecintaan kepada Allah dengan sebenar-benar kecintaan ialah sesuatu yang langka dan tak semudah yang kita lafazkan dan sangkakan; tetapi sedarlah, ia bukan sesuatu yang mustahil.
Sabda Nabi SAW:
Sebelum seseorang mencintai Allah dan Nabi-Nya lebih daripada mencintai yang lain, ia tidak memiliki keimanan yang benar.
Dan ayat-ayat cinta yang diajar Nabi kepada para sahabat:
Ya Allah, berilah aku kecintaan kepada-Mu dan kecintaan kepada orang-orang yang mencintai-Mu dan apa saja yang membawaku mendekat kepada cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu lebih berharga bagiku daripada air dingin bagi orang-orang yang kehausan.
Sabda dan doa Nabi di atas menunjukkan betapa cinta kepada Rabb bukan saja satu keperluan bahkan kewajipan bagi setiap Muslim. Seseorang yang mencintai Allah akan mengaitkan seluruh kehidupannya di dunia ini dengan Allah. Hal ini menjungkirbalikkan ideologi-ideologi kafir yang mengatakan bahawa kehidupan dan agama tidak mungkin bergerak seiring dan sejalan. Mereka (golongan yang mencintai Allah) turut menyedari bahawa Allah SWT lebih dekat dengan diri mereka berbanding diri mereka sendiri.
Sebab-sebab untuk kita mencintai Allah:
Kesempurnaan penciptaan diri kita. Kita harus sedar bahawa semua yang ada pada diri kita ialah anugerah Allah. Wujudnya kita di muka bumi ini adalah dengan izin Allah. Fikirkan: aneh tak jika seseorang mencari perlindungan daripada terik mentari di bawah bayangan sebuah pohon tetapi dia tidak berterima kasih pada pohon itu? Situasi ini adalah sama seperti sebahagian manusia yang tidak pernah bersyukur kepada Allah yang menyebabkan wujudnya manusia itu.
Hanya Allah-lah satu-satunya yang berjasa kepada manusia kerana segala kebaikan yang mereka peroleh daripada sesama manusia disebabkan dorongan serta kehendak Allah SWT.
Sifat-sifat, kebijaksanaan dan kekuasaan-Nya yang tidak terbanding. Allah berfirman kepada Nabi Daud AS: "Abdiku yang paling cinta kepada-Ku ialah yang tidak mencari-Ku kerana takut untuk dihukum, tak berharap mendapatkan pahala, tetapi hanya untuk membayar hutangnya kepada ketuhanan-Ku."
Tuntasnya, di sana ada terlalu banyak sebab untuk kita menjadikan Allah sebagai Nur-ul-Ain (kekasih) - dan pengetahuan tentang-Nya (makrifatullah) yang sempurna mestilah disokongi dengan penyerahan dan ibadah. To love Allah is to know Him. Ingatlah, sesungguhnya cinta yang baik merupakan benih kebahagiaan. Wallahua'lam.

AlQuran PemBeLa DiAkHirAt

Abu Umamah RA berkata: "Rasulullah SAW telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari al-Quran, setelah itu Rasulullah SAW memberitahu tentang kelebihan al-Quran."
Telah bersabda Rasulullah SAW: "Belajarlah kamu akan al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."
Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab: "Siapakah kamu?" Maka berkata al-Quran: "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Quran itu : "Adakah kamu Al- Quran?" Lalu al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah SWT. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.
Pada kedua ayah dan ibunya pula yang Muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya: "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al- Quran."

alQuran MeRuPaKaN TeMaN HiDuP

Al-Quran merupakan teman sejati bagi seorang Mukmin sejati. Di saat ia gembira, al-Quranlah pengingatnya. Di saat ia berduka, al-Quranlah penghiburnya. Ia membaca al-Quran laksana membaca surat dari Kekasihnya - dengan penuh penghayatan dan ketaatan. Dalam menghadapi apa jua situasi, al-Quranlah yang pertama sekali ia rujuk.
Allah SWT memuliakan umat Muhammad dengan al-Quran. Mereka yang sering mendampingi al-Quran pahala mereka dilipatgandakan. Di samping itu, kita dipertanggungjawabkan meneliti al-Quran, memeliharanya, menghayati serta mengamalkannya, dan bersungguh-sungguh dalam memuliakannya.
Allah SWT berfirman dalam surah Fatir ayat 29-30 yang mafhumnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi; agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri."
Membaca al-Quran mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya. Mereka yang membaca al-Quran dengan hati yang ikhlas akan memperoleh ketenangan hati dan jiwa. Tambahan pula, mereka akan mendapat perlindungan Allah daripada gangguan syaitan. Pada hari akhirat kelak, mereka yang rajin membaca al-Quran akan diberi syafaat oleh al-Quran.
Bacaan al-Quran haruslah disertai dengan penghayatan terhadap isinya. Setiap daripada kita harus berusaha memahami al-Quran yang kita baca. Pengetahuan bahasa Arab amat penting dalam konteks ini. Penghayatan al-Quran memberikan Mukmin jati diri yang unik. Rasulullah SAW ada bersabda yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi:
"Sesungguhnya orang yang tidak terdapat dalam rongga badannya sesuatu daripada al-Quran adalah laksana rumah yang roboh."
Seorang Mukmin yang selalu bertemankan al-Quran akan memiliki keistimewaan yang tidak terdapat pada Mukmin yang tidak kerap membacanya. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang telah disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim:
"Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah, sedap dimakan, baunya wangi dan rasanya sedap. Perumpamaan Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar (kurma), tidak mempunyai bau tetapi rasanya manis. Dan orang munafik yang membaca al-Quran seperti ar-Raihanah, baunya wangi, rasanya pahit. Orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah Hanzalah, tiada bau dan rasanya pahit."
Jika kita gundah, rujukilah al-Quran. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. Keraplah kita membaca al-Quran dan menghayatinya serta mengamalkannya. Jadikan hidup kita selaras dengan al-Quran, bagaikan al-Quran yang bergerak laksana generasi sahabat Rasulullah dahulu, merekalah "Generasi Al-Quran Yang Unik," radhiallahu'anhum. Wallahua'lam.

kurangkan gelak

Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda, "Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati." Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi.
Nabi Muhammad melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampaui batas. Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.
Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi.
Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita. Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.
"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur," demikian ditegaskan oleh Nabi SAW. Kita sedia maklum, kuburlah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga.
Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.
Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turut menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun. Nabi SAW pernah bersabda: "Barang-siapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat."
Saidina Ali sentiasa mengeluh, "…jauhnya perjalanan, sedikitnya bekalan…" Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam. Dalam hadith lain, Nabi SAW bersabda, "Barang-siapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka." Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.
Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi SAW. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.
Para sahabat pernah berkata "Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."