Saturday, May 31, 2008

InterPretasi Cinta

Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT; pemilik sekalian alam yang telah melemparkan perasaan cinta ke dalam hati kita.
Firman Allah SWT kepada orang-orang Mukmin:
Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya. (Al-Maidah, 54)
Apakah sebenarnya interpretasi cinta? Menurut Kamus Dewan, perkataan "cinta" boleh didefinisikan dan diinterpretasikan sebagai perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada sesuatu. Contohnya mata kita yang mencintai bentuk-bentuk yang indah dan telinga yang mencintai muzik. Manakala erti cinta dalam kerangka Allah (hubb fiLLAH) ialah mencintai sesuatu yang pada akhirnya mengarah pada apa yang dicintai Allah. Kita seharusnya mencintai sesuatu bukan dengan alasan diri sendiri tetapi kerana adanya sifat-sifat yang dicintai oleh Allah SWT sendiri. Contohnya kita mencintai Rasulullah kerana Allah mencintai baginda dan memang Dia memerintahkan kita untuk mencintai baginda.
Ramai dalam kalangan kita mengakui bahawa cinta kepada Allah ialah satu kewajipan. Namun, sayang sekali jika mereka hanya menjadikannya sebagai gincu di bibir-sekadar perhiasan tanpa berusaha menghayatinya. Ya, benar. Kecintaan kepada Allah dengan sebenar-benar kecintaan ialah sesuatu yang langka dan tak semudah yang kita lafazkan dan sangkakan; tetapi sedarlah, ia bukan sesuatu yang mustahil.
Sabda Nabi SAW:
Sebelum seseorang mencintai Allah dan Nabi-Nya lebih daripada mencintai yang lain, ia tidak memiliki keimanan yang benar.
Dan ayat-ayat cinta yang diajar Nabi kepada para sahabat:
Ya Allah, berilah aku kecintaan kepada-Mu dan kecintaan kepada orang-orang yang mencintai-Mu dan apa saja yang membawaku mendekat kepada cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu lebih berharga bagiku daripada air dingin bagi orang-orang yang kehausan.
Sabda dan doa Nabi di atas menunjukkan betapa cinta kepada Rabb bukan saja satu keperluan bahkan kewajipan bagi setiap Muslim. Seseorang yang mencintai Allah akan mengaitkan seluruh kehidupannya di dunia ini dengan Allah. Hal ini menjungkirbalikkan ideologi-ideologi kafir yang mengatakan bahawa kehidupan dan agama tidak mungkin bergerak seiring dan sejalan. Mereka (golongan yang mencintai Allah) turut menyedari bahawa Allah SWT lebih dekat dengan diri mereka berbanding diri mereka sendiri.
Sebab-sebab untuk kita mencintai Allah:
Kesempurnaan penciptaan diri kita. Kita harus sedar bahawa semua yang ada pada diri kita ialah anugerah Allah. Wujudnya kita di muka bumi ini adalah dengan izin Allah. Fikirkan: aneh tak jika seseorang mencari perlindungan daripada terik mentari di bawah bayangan sebuah pohon tetapi dia tidak berterima kasih pada pohon itu? Situasi ini adalah sama seperti sebahagian manusia yang tidak pernah bersyukur kepada Allah yang menyebabkan wujudnya manusia itu.
Hanya Allah-lah satu-satunya yang berjasa kepada manusia kerana segala kebaikan yang mereka peroleh daripada sesama manusia disebabkan dorongan serta kehendak Allah SWT.
Sifat-sifat, kebijaksanaan dan kekuasaan-Nya yang tidak terbanding. Allah berfirman kepada Nabi Daud AS: "Abdiku yang paling cinta kepada-Ku ialah yang tidak mencari-Ku kerana takut untuk dihukum, tak berharap mendapatkan pahala, tetapi hanya untuk membayar hutangnya kepada ketuhanan-Ku."
Tuntasnya, di sana ada terlalu banyak sebab untuk kita menjadikan Allah sebagai Nur-ul-Ain (kekasih) - dan pengetahuan tentang-Nya (makrifatullah) yang sempurna mestilah disokongi dengan penyerahan dan ibadah. To love Allah is to know Him. Ingatlah, sesungguhnya cinta yang baik merupakan benih kebahagiaan. Wallahua'lam.

No comments: